Harta Sepencarian: Siri 2 – Apakah Perkara yang diambil kira dalam menentukan Harta Sepencarian
Kita kembali ke Siri Ke-2 Harta Sepencarian.
Setelah kita faham dan jelas tentang maksud “Harta Sepencarian” menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, kita meneruskan perbincangan kepada perkara-perkara yang diambil kira dalam menentukan Harta Sepencarian. Jika anda masih belum jelas tentang apakah itu Harta Sepencarian, anda boleh klik pada pautan di bawah.
Terdapat dua perkara yang akan dinilai dalam menentukan Harta Sepencarian iaitu:
a. Sumbangan Secara Langsung
b. Sumbangan Secara Tidak Langsung
Sumbangan secara langsung adalah sumbangan yang dibuat oleh kedua-dua pihak dalam bentuk modal dan wang bagi membeli sesuatu aset atau harta berkenaan.
Antara contoh-contoh sumbangan secara langsung adalah:
a. mengeluarkan wang membayar deposit dan ansuran bulanan
b. menggunakan nama dalam aset
c. menggunakan pengaruh diri dalam mendapatkan aset
d. menggunakan nama bapa / keluarga yang mempunyai pengaruh tertentu
e. membuat pinjaman dengan syarikat tempat pasangan bekerja
f. mengisi borang permohonan, menyerahkan kepada pemaju, membuat tindakan-tindakan susulan
g. berusaha mendapatkan peguam cara bagi menguruskan pemilikan aset
h. menggunakan dua nama dalam membuat pinjaman
i. menjadi penjamin kepada peminjam
Sumbangan secara tidak langsung adalah sumbangan yang bukan dalam bentuk wang atau benda, tetapi membolehkan untuk mendapatkan sesuatu aset atau harta. Sumbangan ini boleh dilihat seperti memberi idea, dorongan, nasihat, memberi semangat, menjaga keselesaan, menimbulkan ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan yang berusaha secara langsung dan berjaya mendapatkan harta atau aset tersebut.
Antara contoh-contoh sumbangan tidak langsung adalah:
a. menjadi isteri yang taat dan bertanggungjawab serta sentiasa menjaga kehormatan suami
b. memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga untuk memberi keselesaan kepada suami dalam memperoleh aset
c. menemani suami semasa suami berurusan untuk memperoleh harta tersebut
d. menjaga dan memelihara anak-anak yang masih di bawah umur dengan baik
e. menjaga makan minum suami dan pakaian suami dengan baik dan teratur
f. menjaga suami yang terlantar sakit dengan sabar
g. bekerja dan menggunakan duit gaji membantu meringankan beban suami dalam rumahtangga
Kita akan mengupas lagi berkenaan topik Harta Sepencarian dalam posting yang akan datang.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi saya di https://linktr.ee/puanumi
PUAN UMI YUSOF
Guru Agih Harta
016 216 7374
#hartasepencarian #siri2
#hibah #wasiat #faraid #pusaka
#NHK
Rujukan:
1. Kertas Kerja 8: Harta Sepencarian – Klasifikasi, Prosedur dan Pelaksanaan di Mahkamah Syariah di Malaysia oleh Dato Haji Abdul Walid bin Abu Hassan, Penasihat Pembangunan Dasar dan Pengurusan Syariah (Pakar Rujuk) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)
2. Harta Sepencarian oleh Jabatan Bantuan Guaman
Link Posting Lepas:
Harta Sepencarian Siri 1:
https://www.facebook.com/903477329720064/posts/3461501187250986
©Penulisan hak cipta terpelihara PUAN UMI. Mohon buat laporan kepada admin jika ada yang menggunakan penulisan PUAN UMI untuk kegunaan peribadi di mana-mana blog, website, page atau Facebook profile selain PUAN UMI. Sila tekan butang share jika mahu berkongsi penulisan ini.