KES KEMALANGAN DI LEBUHRAYA DUKE – SUMBANGAN ORANG RAMAI, DI MANA SILAPNYA?
Adakah kita masih ingat kepada kes kemalangan di lebuhraya DUKE sekitar Mei 2015? Kemalangan ini telah meragut nyawa 3 nyawa, Fairuz Nizam Husain, 35 dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27 serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa, enam bulan. Akibat kemalangan maut ini, dua anak mereka yang masih kecil, Nur Firuza Amira, 8 tahun dan Nur Firuza Aqilah, 5 tahun kini menjadi yatim piatu.
Kes ini menggemparkan rakyat Malaysia dan orang ramai yang prihatin serta simpati kepada nasib kedua anak-anak ini mula membuat sumbangan kepada pihak-pihak yang boleh menyalurkan bantuan tersebut terus bagi menjamin kebajikan anak-anak ini. Namun, timbul pula dakwaan berlakunya pecah amanah kepada hasil sumbangan ini. Ibu saudara kepada Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqilah, Pn Yusnidah Hussain, yang telah menjaga anak-anak ini sejak kematian ibu bapa mereka, mendakwa hanya menerima RM12,000 dari RM300,000 jumlah hasil sumbangan orang ramai.
Persoalannya, ke mana hasil sumbangan ini pergi? Bagaimana perkara ini boleh berlaku?
Kesilapan yang pertama adalah apabila individu yang dilantik tidak faham akan tanggungjawab sebagai pemegang amanah. Individu tersebut beranggapan bahawa wang sumbangan yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya adalah menjadi hak miliknya dan boleh digunakan untuk manfaat peribadi dengan sewenang-wenangnya.
Kita perlu faham akan tanggungjawab dan tugasan sebagai pemegang amanah di mana hak pengurusan wang sumbangan tersebut perlulah tertakluk kepada keperluan dan kebajikan kedua-dua anak yatim berkenaan. Wang sumbangan ini perlu diuruskan dengan rasa penuh kejujuran dan rasa tanggungjawab.
Bagaimana untuk kita memastikan wang sumbangan ini akan diuruskan dengan amanah, jujur dan bertanggungjawab? Ini membawa kepada kesilapan yang kedua iaitu apabila melantik individu dengan akaun bank peribadi sebagai pemegang amanah tanpa terikat dengan apa-apa perjanjian atau surat ikatan amanah. Surat Ikatan Amanah ini adalah perjanjian di antara pemegang amanah yang mewakili sesuatu pihak yang berkepentingan (benefisiari) untuk melaksanakan sesuatu amanah atau tanggungjawab dan ia tertakluk kepada peruntukan undang-undang Akta Pemegang Amanah 1949.
Selain individu, kita juga boleh melantik Syarikat Amanah untuk bertindak sebagai Pemegang Amanah bagi Tabung Amanah yang telah dibuat dan Syarikat Amanah yang tertakluk kepada Tadbir Urus Korporat serta Akta Syarikat Amanah 1949 pastinya perlu melaksanakan tanggungjawabnya secara penuh kejujuran, amanah dan kebertanggungjawaban.
Isu berkenaan tugas dan tanggungjawab Pemegang Amanah bukanlah suatu isu yang terpencil kerana banyak urusan-urusan pusaka seperti pengeluaran caruman KWSP yang memerlukan Pemegang Amanah yang jujur dan bertanggungjawab. Oleh itu, menjadi tugas kita untuk memastikan diri dan keluarga kita untuk benar-benar faham akan tanggungjawabnya sebagai pemegang amanah dan implikasi yang boleh berlaku sekiranya tanggungjawab itu diabaikan serta tidak dilaksanakan dengan baik.
Sekiranya anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang Pemegang Amanah, Syarikat Amanah dan Tabung Amanah, boleh hubungi kami melalui talian whatapps Pn Umi.
Sebarang pertanyaan boleh ajukan di https://linktr.ee/puanumi
PUAN UMI YUSOF
Guru Agih Harta
016 216 7374
Sumber Rujukan:
- “Enam pemandu berluma atas DUKE, 3 maut termasuk bayi” Astro Awani: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/enam-pemandu-berlumba-atas-duke-3-maut-termasuk-bayi-59102
- “Tiga sekeluarga maut nahas di Lebuhraya DUKE” Berita Harian Online: https://www.bharian.com.my/node/52340
- “Wang sumbangan kemalangan DUKE: ‘Ibu, bapa saudara cuma pemegang amanah’ – Mufti” Astro Awani: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/wang-sumbangan-kemalangan-duke-ibu-bapa-saudara-cuma-pemegang-amanah-mufti-119816
- “Dapat 12K saja daripada 300K, ini laporan penuh isu pengagihan wang mangsa kemalangan DUKE” Says.com: https://says.com/my/seismik/isu-pembahagian-sumbangan-kepada-anak-mangsa-kemalangan-duke
#wasiat #hibah #faraid #pusaka #wasiyyahshoppe
#NHK
©Penulisan hak cipta terpelihara PUAN UMI. Mohon buat laporan kepada admin jika ada yang menggunakan penulisan PUAN UMI untuk kegunaan peribadi di mana-mana blog, website, page atau Facebook profile selain PUAN UMI. Sila tekan butang share jika mahu berkongsi penulisan ini.