Di dalam taklimat saya, ketika appointment dan perbincangan bersama pelanggan kadang kadang terhambur kata kata yang secara tidak langsung dan tanpa sedar oleh pelanggan dan mungkin saya sendiri yang memberi gambaran kurang baik kepada FARAID.
Justeru, untuk rekod dan maklumat bersama saya tegaskan;
1. Faraid adalah pembahagian paling adil untuk harta pusaka.
2. Tiada kesalahan atau malu untuk waris memilih faraid(kerana takut dituduh tamak dan sebagainya).
Faraid itu baik dan adil bukan hanya kerana ia perintah Allah di dalam Al Quran Surah An Nisa 11, 12 dan 176. Lebih daripada itu, ia memang aturan paling adil untuk manusia dan ia logik dan sesuai dengan sifat kita.
Perlu kita fahami bahawa faraid berkuatkuasa hanya keatas pusaka. Maksudnya, setelah ditolak hak lain(hutang, amanah, wasiat, hibah) barulah faraid terlaksana. Faraid menjamin hak waris lelaki dan perempuan. Ya, hak waris perempuan dijamin faraid tidak seperti sebelum Islam dimana waris perempuan tiada hak langsung keatas harta pusaka.
Yang selalu dibangkitkan adalah kenapa waris lelaki(anak lelaki) mendapat sekali ganda lebih daripada anak perempuan. Ini tidak adil kata sesetengah golongan. Nampak logik juga sepintas lalu. Bila diselami, barulah kita faham si lelaki walaupun mendapat 100% lebih, dia menerima secara kasar. Maksudnya, waris lelaki menerima bersama TANGGUNGJAWAB! Di bahu beliau terbeban tanggungjawab kepada ibu, nenek, saudara perempuan dan adik adik bawah umur dan keluarga secara amnya meliputi makan minum, pendidikan, tempat berteduh dan perlindungan. Justeru, agama memberi beliau lebih hak tetapi tanggungjawap yang datang bersama adalah maha berat, di dunia dan di akhirat.
Waris perempuan pula, walaupun mendapat 100% kurang tetapi beliau terima secara bersih. Maksudnya, dia tidak ada sebarang tanggungjawap untuk orang lain melainkan semua harta yang diwarisi milik beliau seorang! Selalu saya sebut di dalam taklimat, “nak beli kasut dan beg sampai habis harta tu pun tak salah” walaupun ia tindakan kurang bijak. Jadi waris perempuan terlepas daripada tanggungjawap dunia dan akhirat! Bukankah ini adil?
Selalunya, saya akan diasak lagi. Kata mereka, si lelaki hanya ambil separuh, terima harta tetapi melepaskan tanggungjawab. Benar, saya setuju kadang kadang ini berlaku, tidak dapat dinafikan. Malah setelah diperintah oleh mahkamah pun ada yang masih degil. Jawapan saya mudah, sekiranya itu yang dilakukan waris lelaki(melepaskan tanggungjawap), maka bersedialah dia menerima keadilan hakiki di hadapan Rabbul Jalil yang maha adil nanti. Pasti! keadilan tertegak pada masa itu.
Mendepani keadaan semasa, memang ada keperluan untuk merancang harta. Soalnya adakah agama Islam memberi penyelesaian? Jawapannya, sudah pasti!
Seperti yang saya sebut diawal tadi, FARAID berkuatkuasa hanya keatas PUSAKA. Bahasa kasarnya, bolehlah saya kata, kepada yang malas ambil pusing perihal harta, nasib diri sendiri dan keluarga, agama ini memberi aturan bagaimana pusaka beliau akan dibahagikan selepas kematian. Tanpa faraid, mana mungkin pusaka harta dibahagi? Lagi huru hara waris berebut malah mungkin yang kuat dan berkuasa memonopoli semuanya. Maka, faraid menjadi hikmah untuk mendamaikan waris dengan ketentuan Allah.
Kepada yang bertanggungjawap pula, insaf akan tanggungjawap beliau sebagai ketua keluarga misalnya. Tahu bahawa ada hak dan keperluan tertentu yang perlu dipenuhi demi menjamin kebajikan waris dan orang tersayang, agama ini memberi solusi melalui hibah, wasiat 1/3, amanah dan waqaf. Kuncinya adalah, ia perlu dilakukan SEMASA HIDUP!
Buatlah hibah untuk beri harta kepada waris dengan niat dan tujuan baik, berwasiat 1/3 lah untuk beri kepada bukan waris seperti (sahabat, anak angkat, anak tiri, ibubapa/saudara berlainan agama), buatlah amanah untuk mencapai hasrat tertentu seperti pendidikan anak dan keperluan perubatan dan waqaflah harta untuk pahala untuk diri sendiri. Begitulah cantiknya agama ini.
Sabda Nabi SAW ” Salinglah memberi hadiah, nescaya kamu akan saling mencintai”, HR Bukhari. Maka itu tujuan kita merancang harta BUKAN untuk melarikan harta daripada FARAID. Sebaliknya, kita merancang harta melalui hibah, wasiat 1/3 dan sebagainya demi niat yang suci lagi baik untuk kepentingan diri, waris dan ummah.
Kita hibah rumah demi memastikan anak dan isteri ada tempat berteduh sekiranya kita tiada. Kita wasiatkan harta kepada anak angkat kerana kasih sayang dan tahu beliau tiada hak keatas faraid, justeru boleh menerima wasiat. Kita waqaf harta kerana tahu ia adalah amal sedekah yang memberi ganjaran pahala kepada diri sendiri hingga hari pengadilan. Itulah ajaran ISLAM, yang sebaliknya.
Jadi, buatlah hibah kerana ia sunnah bukan kerana nak elak faraid.
Buatlah wasiat 1/3, waqaf dan amanah kerana ia juga anjuran agama.
Tak mahu, boleh sahaja, FARAID akan memberi kepada waris seadilnya.
Tepuk dada tanya akal.
Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita dan memberi panduan kepada saya supaya beramanah dalam menyampaikan ILMU. Aamiin.
PERCUMA servis pengiraan faraid anda. Klik Link https://www.puanumi.com/kalkulator-faraid atau hubungi 016-216 7374 untuk maklumat lanjut
PUAN UMI
Guru Agih Harta
https://t.me/notaagihharta
WhatsApp kami