WASIATMU TINGGAL KENANGAN
Dua tahun lepas, Pak Samad telah berkahwin dengan Mak Leha (nama samaran) yang hidupnya sebatang kara. Pak Samad mempunyai 2 orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Tanpa pengetahuan Mak Leha, rupa-rupanya perkahwinan Mak Leha dengan Pak Samad sebenarnya tidak disenangi oleh anak-anak dan menyebabkan hubungan anak tiri dan Mak Leha tidak baik. Hal ini kerana mereka beranggapan Mak Leha berkahwin dengan ayah mereka disebabkan oleh harta keluarga sahaja.
Tambahan pula Pak Samad mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan perlu mendapatkan rawatan hemodialisis. Sepanjang perkahwinan mereka, Mak Lehalah yang menjadi peneman Pak Samad apabila hendak ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sebulan sebelum Pak Samad meninggal dunia, Pak Samad telah berpesan kepada Mak Leha bahawa kesemua duit dalam Tabung Haji yang berjumlah RM20,000 diberikan kepada Mak Leha dan hasil pajakan kelapa sawit seluas 5 ekar hendaklah dibahagi sama rata untuk kesemua anak-anak dan Mak Leha.
Surat wasiat yang ditulis oleh Pak Samad disimpan sendiri oleh Mak Leha tanpa pengetahuan anak-anak arwah suaminya. Apabila Pak Samad meninggal dunia, anak-anak tiri telah menghalau Mak Leha tanpa rasa belas ihsan. Kata mereka, Mak Leha tiada hak ke atas rumah tersebut kerana rumah yang diduduki sekarang masih lagi atas nama arwah ibu mereka.
Lebih malang lagi, surat wasiat arwah suaminya telah hilang dalam simpanannya. Mungkin tersalah letak atau pun tercicir sewaktu dia kelam-kabut berkemas dan hendak berpindah ke tempat lain. Sehingga kini surat wasiat tersebut masih tidak dijumpai.
Kadang-kadang kita faham disebabkan faktor usia, kesihatan, masa, kurangnya ilmu atau kekangan wang adalah salah satu faktor seseorang itu tidak buat dokumen yang lengkap.
Walaubagaimanapun cara ini tidak digalakkan dan sangat berisiko. Apabila surat wasiat telah hilang, bagaimana hendak buktikan pesanan atau pemberian yang telah dibuat sebelum ini, jika ada waris yang pertikaikan.
Sekiranya suami meninggal dunia, maka isteri ada hak 1/8 dari harta suaminya. Walaupun berstatus ibu tiri, anak-anak dari suami tidak boleh iri hati atau protes kerana hal tersebut merupakan hak isteri yang dijelaskan dalam Surah an-Nissa’, Ayat 12:
“Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat satu perempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya.
Para isteri memperolehi satu perempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperolehi satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu”.
Oleh itu, apabila ada hasrat lain selain daripada faraid, sebaiknya buat dokumen hibah yang lengkap dan penyimpanan yang selamat sebagai bahan bukti sekiranya ada cabaran.
Disebabkan harta, terputusnya silaturrahim antara anak-anak dan ibu tiri. Kisah Pak Samad dan Mak Leha boleh dijadikan iktibar untuk kita semua. Hal ini dapat dielakkan jika semasa hidup dan ketika sihat, kita membuat perancangan harta. Ianya bukan sikit atau banyaknya harta seseorang itu, tetapi bagaimana harta yang ditinggalkan dapat diurus dan dimanfaatkan sebaiknya.
Selain daripada mendapat ganjaran daripada Allah SWT, pemberian kita tadi dapat menghilangkan perasaan hasad dengki, cemburu dan dendam yang ada dalam diri seseorang dan diganti dengan perasaan rendah hati dan lembut perasaannya sehingga melahirkan perasaan kasih sayang dan belas ihsan sebagaimana sabda Rasullah SAW yang bermaksud:
“Saling memberi hadiahlah kamu, nescaya kamu akan saling menyayangi”.
Sebarang pertanyaan boleh hubungi:
PUAN UMI YUSOF
Guru Agih Harta
016 216 7374
#hibah #wasiat #faraid #pusaka #ibutiri #anaktiri
#rancangkeranasayang
#eko
©Penulisan hak cipta terpelihara PUAN UMI. Mohon buat laporan kepada admin jika ada yang menggunakan penulisan PUAN UMI untuk kegunaan peribadi di mana-mana blog, website, page atau Facebook profile selain PUAN UMI. Sila tekan butang share jika mahu berkongsi penulisan ini.