Masih ada yang beranggapan bahawa Wasi atau Pentadbir Harta yang dilantik perlulah dari kalangan anak lelaki sulong si pemilik harta atau si arwah. Namun, dalam kebanyakan kes pusaka dan pembahagian faraid, anak-anak tidak arif dalam bidang ini menyebabkan proses pengurusan harta pusaka tak selesai dan berlarutan lamanya.
Sebenarnya wasi atau pentadbir harta boleh dilantik dari kalangan waris-waris, individu luar yang dipercayai atau pun Syarikat Amanah.
1. Pengebumian dan pengurusan jenazah.
Wasi/Pentadbir perlu menjelaskan segala belanja pengebumian dan pengurusan jenazah si mati menggunakan harta pusaka si arwah.
2. Melangsaikan hutang si mati
Wasi/Pentadbir perlu melangsaikan hutang yang ditinggalkan dengan menggunakan duit pusaka.
Hutang ini termasuk hutang dengan individu, organisasi mahu pun berhutang dengan Allah S.W.T. Sebagai contoh hutang fidyah dan apa-apa bentuk zakat yang masih belum dilunaskan lagi.
3. Memungut Hutang Si Mati
Wasi/Pentadbir perlulah memungut hutang-hutang yang masih belum dibayar ketika hayat si mati.
Hutang-hutang yang dipungut hendaklah dikumpulkan dengan harta pusaka yang lain dan diuruskan mengikut hukum syarak.
4. Mengumpulkan Harta Pusaka
Wasi dan Pemegang Amanah hendaklah mengumpulkan kesemua harta pusaka dengan menyenaraikan harta yang ditinggalkan dan mengumpulkan dokumen seperti geran atau perjanjian jual beli hartanah, sijil saham dan lain-lain lagi.
5. Menjaga harta pusaka yang berbentuk amanah
Pemegang Amanah bertanggungjawab di atas harta yang telah diamanahkan seperti bahagian waris yang bawah umur dan bahagian waris yang tidak sempurna akalnya.
6. Mengagihkan harta kepada waris yang tidak dapat hadir
Sekiranya terdapat waris yang tidak dapat hadir semasa proses pembahagian harta pusaka dibuat, Wasi atau Pemegang Amanah hendaklah memegang harta secara amanah mengikut jumlah bahagian faraid yang telah ditetapkan bagi tempoh yang difikirkan sesuai.
7. Pentadbiran Harta Pusaka
Wasi bertanggungjawab untuk uruskan harta pusaka si mati sama ada di Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil dan Wasi perlu menjelaskan kos pengurusan pusaka dari harta pusaka si mati.
Apabila aset telah dicairkan, kos tadi perlu ditolak dari pusaka si mati sebelum diagihkan mengikut pembahagian faraid.
Wasi / Pentadbir Harta Pusaka
Sekiranya Wasi/Pentadbir gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Wasi dan tidak mengagihkan wang yang diterima kepada waris yang sah, waris-waris boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap Wasi/Pentadbir untuk menuntut wang tersebut atas kegagalannya menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai Wasi.
Oleh itu, amat penting pemilik harta melantik Wasi semasa hidup. Hal ini kerana, pemilik harta tahu siapakah orang yang dipercayai untuk menjalankan tugas sebagai Wasi.
Pemilik harta juga perlu memastikan Wasi yang dilantik akan dibantu sepenuhnya oleh pihak ketiga yang profesional dan berpengalaman dalam urusan Pengurusan Pusaka agar Wasi dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah sebaiknya.
Walaupun kos untuk menyediakan dokumen perlantikan wasi/pentadbir tidak mahal, ramai yang masih ambil sikap yang suka bertangguh atau tidak ambil endah. Sikap pemilik harta tidak rancang harta semasa hidup boleh menyebabkan tuntutan harta pusaka makan masa yang lama untuk selesai.
Hal peninggalan pusaka ini melibatkan emosi, malah boleh menyebabkan terputusnya silaturahim sesama keluarga, hutang yang tidak dapat diselesaikan dan 1001 masalah yang akan berlaku.
Harta yang diuruskan dengan baik dan dapat dimanfaatkan selepas kematian, tanpa anda sedari akan menjadi ladang pahala anda di akhirat nanti. Dengan tindakan kecil yang anda lakukan sekarang, impaknya sangat besar apabila anda sudah tiada nanti.
Ingin dapatkan konsultansi percuma daripada Team saya? Boleh terus klik gambar berikut:
WhatsApp kami