Sebelum kita fahami beza apa itu hibah dengan yang lain, mari kita teliti satu fakta ni.
Banyak kajian yang menunjukkan bahawa perlakuan positif terhadap diri sendiri dan orang lain, TANPA mengharapkan apa-apa sebagai balasan, memberi kesan yang baik kepada kesihatan. Antara perlakuan positif yang seringkali kita dengar ialah perbuatan memberi atau lebih dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai ‘The Act of Giving’.
Namun demikian, tahukah anda terdapat pelbagai jenis kategori pemberian dalam Islam sebagai contoh Hibah, Hadiah, Sedekah dan Wakaf?
Apakah Bezanya Hibah, Hadiah, Sedekah dan Wakaf?
1. Apa itu hibah?
Definisi Hibah secara umum adalah pemberian hak (harta) secara sukarela (ketika hidup) kepada sesiapa sahaja tanpa mengharapkan ganjaran. Pada kebiasaannya, ia dilakukan atas dasar kasih sayang. Ia memerlukan suatu IJAB dan QABUL pemberian antara pemberi dan penerima. Hibah mempunyai rukun hibah dan syarat untuk hibah itu terlaksana secara mutlak.
2. Apa itu hadiah?
Definisi Hadiah pula bermaksud pemberian sebagai penghargaan, kenang-kenangan atau ganjaran kepada sesiapa sahaja dengan tujuan tertentu sebagai contoh ketika sambutan harijadi, pemenang pertandingan atau pekerja terbaik.
3. Apa itu sedekah?
Definisi ketiga iaitu Sedekah bermaksud pemberian secara sukarela berupa sesuatu yang berguna kepada golongan yang memerlukan dengan tujuan ibadah kepada Allah SWT (mencari pahala).
4. Apa itu wakaf?
Definisi wakaf bermaksud pemberian hak (harta) secara sukarela (ketika hidup) untuk kegunaan umum masyarakat dengan tujuan ibadah kepada Allah SWT (mencari pahala). Konsep wakaf dalam Islam dilihat sebagai sesuatu yang berbentuk jariah (berkekalan) kerana sifatnya yang membelanjakan harta ke jalan Allah SWT yang harta itu dapat dimanfaatkan oleh orang lain.
Wakaf mudah alih adalah seperti wang ringgit manakala wakaf kekal adalah seperti tanah atau rumah. Dalam Islam, keempat-empat kategori pemberian di atas merupakan sesuatu yang mulia di sisi Allah SWT dan digalakkan agar pemberian tersebut tidak ditarik balik.
Namun demikian, sekiranya pemberian itu dilakukan secara lisan sahaja, potensi untuk perbalahan boleh terjadi di masa akan datang. Bersedekah lah ke jalan Allah, inshaallah akan digantikan semula dengan ganjaran yang terindah di dunia dan akhirat.
Aplikasi Terma Hibah Dalam Perwarisan Harta
Dalam Perwarisan, kami menggunakan keempat-keempat kaedah pemberian di atas mengikut keperluan dan hasrat pemilik harta. Dalam janji Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah, ayat 261 berfirman;
“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”