Makcik M seorang ibu yang sudah berusia. Beliau dikurniakan dua anak perempuan dan dua anak lelaki anak hasil perkongsian hidup bersama arwah suami tercinta. Masing-masing kini sudah pun berumah tangga. Beliau tinggal di sebuah perkampungan yang kini di kelilingi oleh pembangunan yang pesat. Depan, belakang, kiri, dan kanan merupakan bangunan-bangunan dan gudang-gudang besar yang menjadi pusat tumpuan rakyat Malaysia bekerja dan juga syurga membeli belah
Di usia yang senja ini, Makcik M mampu bersyukur kerana kehidupan hariannya diuruskan oleh anak-anak perempuan beliau. Baginya tak semua orang bernasib baik seperti dirinya. Ramai yang dilihatnya terpaksa mengharungi sisa-sisa hidup bersendirian tanpa perhatian dan bantuan daripada anak-anak.
Namun konflik mula timbul apabila Makcik M berhasrat untuk merancang pembahagian hartanya. Tidak banyak mana pun, hanyalah sebidang tanah pusaka peninggalan arwah ayahnya yang dianggarkan bernilai RM16 juta. Atas dasar kasih sayang, Makcik M berhasrat membahagikan tanahnya sama rata kepada semua anaknya. Baginya, beliau tidak membeza-bezakan anak-anaknya. Baginya, semua berhak menerima pemberian yang sama darinya.
Hasrat beliau yang suci ini ternyata ditentang keras oleh anak-anak lelakinya. Bagi mereka, mereka berhak mendapat lebih, bukannya samarata. Lucunya, salah seorang daripada anak lelaki tersebut membawa sekeping kertas yang dilipat kecil. Dari awal saya sudah tertanya-tanya, apa gunanya kertas itu. Rupa-rupanya, kertas itu dilipat 6 menandakan 6 bahagian faraid. “Ini abang punya, ini saya punya. Lelaki dua bahagian seorang. Untuk kakak dan adik, satu bahagian seorang. Ini hak kami. Ini faraid kami” Macam cerita P.Ramlee pula gayanya. Ini aku punya, ini engkau punya. Bagi mereka, mereka sudah mempunyai hak faraid ke atas harta ibunya. Walhal, hak faraid hanya wujud ke atas harta pusaka iaitu harta orang yang sudah meninggal, bukannya ke atas harta orang yang masih hidup.
Lebih malang lagi, salah seorang daripadanya sudah membina rumah di atas tanah tersebut. Tanpa segan silu, dia berkata “Kalau mak nak buat macam ni, mak bayar saya RM100 ribu” Kenapa? Baginya, ibunya perlu membayar gantirugi kepadanya kerana dia sepatutnya mendapat bahagian yang lebih. Dia tidak sedar, selama ini dia hanya menumpang atas tanah ibunya.
Dengan nada yang geram, saya menyatakan “kalau macam ni lah keadaannya, kalau ibu waqaf semua tanah ni, sesen pun kamu tak dapat”. Hibah, Waqaf, Sedekah adalah hak milik penuh si pemilik harta. Terpulang kepada si pemilik harta untuk melakukan apa sahaja terhadap harta mereka. Tertunduk mereka mendengar kata-kata saya.
Namun akhirnya, disebabkan tentangan keras anak lelakinya, Makcik M terpaksa membatalkan hasratnya. Dengan linangan air mata, beliau berkata kepada anak-anaknya. “ Selepas ini, kalau ada apa-apa, korang anak-anak lelaki kene tanggung semuanya. Aku dah lepaskan tanggungjawab. Aku nak mati dengan aman saja”. Terpancar kepuasan di wajah anak-anak lelaki beliau kerana berjaya membatalkan hasrat ibunya. Anak-anak yang lain hanya mampu tunduk sayu mendengar ucapan ibunya, memahami maksud sebenarnya tiap patah kata ibunya
Kepada semua, fahamilah ilmu harta dan pusaka secara betul. Kenalilah apa itu harta dan apa itu pusaka. Kedua-duanya mempunyai hak dan kaedah yang berbeza. Ketahuilah bahawa bersama harta itu ada tanggungjawabnya. Jangan kerana kejahilan kita, kita menempa nama di neraka.
Firmannya:
Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui. (Al-Baqarah : 188)
Untuk mendapatkan konsultansi peribadi boleh berhubung dengan saya di https://tanyalahpuanumi.wasap.my
PUAN UMI
Guru Agih Harta
WhatsApp kami