Harta Sepencarian: Siri 1 – Apakah Harta Sepencarian?

Kini masyarakat terutama kaum wanita mula peka berkenaan dengan harta sepencarian. Ini dapat dilihat melalui tuntutan terhadap harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah agak memberangsangkan mutakhir ini.

Namun, masyarakat Islam di Malaysia khususnya belum benar-benar memahami tentang konsep harta sepencarian ini. Menyedari hakikat ini, saya ingin berkongsi di dalam beberapa siri posting di Page ini memfokuskan kepada “Harta Sepencarian”.

Apakah Itu Harta Sepencarian?

Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 2 mentafsirkan “harta sepencarian” adalah harta yang diperoleh oleh suami dan isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Menurut Seksyen 122 (1) di dalam Enakmen yang sama menjelaskan secara terperinci Kuasa Mahkamah Syariah berkaitan dengan pembahagian harta sepencarian.

Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ ayat 32 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Karena) bagi orang laki-laki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Jadi jelas daripada Firman Allah SWT menyatakan bahawa isteri mempunyai hak terhadap apa yang diusahakan yang membawa kepada suami untuk berjaya memiliki sesuatu harta. Usaha ini dikenali sebagai “sumbangan tidak langsung”. Kita akan membincangkan tentang perkara ini di dalam posting yang seterusnya.

Persoalannya, bagaimanakah mahkamah menentukan harta tersebut adalah harta sepencarian atau tidak? Mahkamah akan melihat kepada dua perkara iaitu:
Tempoh masa harta tersebut diperolehi, adakah dalam tempoh perkahwinan atau sebelum perkahwinan
Adakah wujud atau tidak sumbangan dari kedua-dua pihak sama ada sumbangan secara langsung atau tidak langsung bagi mendapatkan harta tersebut

Sesuatu harta boleh dikira sebagai harta sepencarian, apabila:
Harta yang diperoleh oleh suami dalam tempoh perkahwinan dengan menggunakan wang sendiri atau titik peluhnya sendiri tanpa sumbangan langsung daripada pihak isteri.
Sebagai contoh: Suami membeli sebuah rumah dalam tempoh perkahwinan menggunakan duitnya sendiri dan isteri tidak memberi sumbangan langsung terhadap pembelian rumah tersebut seperti bayaran deposit atau bayaran ansuran bulanan, isteri berhak untuk menuntut harta sepencarian kerana ada sumbangan tidak langsung oleh pihak isteri
Harta isteri atau harta suami yang dibawa sebelum berkahwin, kemudian dimajukan secara bersama dalam masa perkahwinan, boleh dikira sebagai harta sepencarian.
Contoh: Suami telah membeli rumah sebelum berkahwin. Selepas berkahwin, isteri turut menyumbang kepada bayaran ansuran atau menyumbang untuk tujuan ubahsuai rumah, maka isteri boleh menuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian
Sebarang hasil atau nilai tambahan daripada perkembangan dan pemajuan semasa tempoh perkahwinan ke atas harta semasa yang diperolehi sebelum berkahwin, boleh dikira termasuk dalam harta sepencarian.
Contoh: Rumah yang diperoleh oleh suami sebelum berkahwin dan disewakan. Selepas berkahwin, rumah tersebut telah diubahsuai secara bersama dan sewa rumah tersebut meningkat naik hasil ubahsuai tersebut. Maka, isteri berhak membuat tuntutan harta sepencarian ke atas hasil sewa rumah tersebut.

Sesuatu harta tidak boleh dikira sebagai harta sepencarian, apabila:
Harta suami atau isteri yang diperoleh sebelum perkahwinan tanpa ada apa-apa penambahan atau pemajuan terhadap harta tersebut selepas berkahwin oleh mana-mana pihak.
Contoh: Suami menerima rumah melalui hibah sebelum berkahwin dan selepas berkahwin, tiada sebarang ubahsuai atau penambahan nilai terhadap rumah tersebut, maka rumah tersebut tidak termasuk dalam harta sepencarian
Harta yang diperolehi oleh isteri semasa perkahwinan dengan usahanya sendiri tanpa ada apa-apa sumbangan langsung daripada suami, harta tersebut tidak dikira sebagai harta sepencarian
Contoh: Isteri membeli rumah semasa perkahwinan dengan menggunakan wangnya sendiri tanpa suami memberi apa-apa sumbangan langsung seperti mengeluarkan wang untuk deposit atau ansuran bulanan, maka suami tidak boleh menuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian.

Ini adalah serba sedikit perkongsian berkenaan harta yang boleh dikira sebagai harta sepencarian atau bukan harta sepencarian.

Kita akan mengupas lagi berkenaan topik Harta Sepencarian: Sumbangan Langsung dan Sumbangan Tidak Langsung dalam posting yang akan datang.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi saya di https://linktr.ee/puanumi

PUAN UMI YUSOF
Guru Agih Harta
016 216 7374   

#hartasepencarian #siri1

#hibah #wasiat #faraid #pusaka

#NHK

Rujukan:
Kertas Kerja 8: Harta Sepencarian – Klasifikasi, Prosedur dan Pelaksanaan di Mahkamah Syariah di Malaysia oleh Dato Haji Abdul Walid bin Abu Hassan, Penasihat Pembangunan Dasar dan Pengurusan Syariah (Pakar Rujuk) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)
Harta Sepencarian oleh Jabatan Bantuan Guaman

©Penulisan hak cipta terpelihara PUAN UMI. Mohon buat laporan kepada admin jika ada yang menggunakan penulisan PUAN UMI untuk kegunaan peribadi di mana-mana blog, website, page atau Facebook profile selain PUAN UMI. Sila tekan butang share jika mahu berkongsi penulisan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *