Tidak tahu proses membuat tuntutan harta pusaka menjadi faktor terbesar yang menyumbang kepada kelewatan pembahagian pusaka dan peningkatan harta beku di Malaysia. Di Malaysia, pengurusan dan pembahagian harta pusaka perlu melalui pelbagai proses undang-undang dan pentadbiran. Hal ini bertujuan melindungi harta daripada dituntut oleh pihak yang tidak sepatutnya.

Berdasarkan peruntukkan undang-undang di Malaysia, harta pusaka dikategorikan kepada tiga jenis, iaitu harta pusaka kecil, harta pusaka besar dan harta pusaka ringkas. Kategori ini tertakluk kepada jumlah nilaian dan jenis harta pusaka yang ditinggalkan si mati.

Apakah perbezaan ketiga-tiga kategori harta pusaka ini?

1. Harta Pusaka Kecil
Harta pusaka kecil bermaksud harta yang ditinggalkan oleh si mati tanpa wasiat, terdiri daripada harta tak alih sahaja atau campuran antara harta tak alih dan harta alih yang jumlah nilaiannya tidak melebihi RM 2 juta (Ringgit Malaysia Dua Juta) pada tarikh permohonan dibuat.
Tuntutan harta pusaka kecil boleh dibuat di Pejabat Pusaka Kecil dan Pejabat Tanah di mana harta tak alih si mati terletak. Pelaksanaan harta pusaka kecil termaktub di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.

2. Harta Pusaka Besar
Harta pusaka besar ialah harta pusaka yang jumlah nilaiannya lebih daripada RM 2 juta (Ringgit Malaysia Dua Juta) sama ada terdiri daripada harta alih semuanya atau harta tak alih semuanya atau terdiri daripada campuran harta alih dengan harta tak alih, ataupun jumlah nilaian harta si mati kurang daripada RM 2 juta tetapi si mati ada meninggalkan wasiat.

Undang-undang yang digunapakai dalam pentadbiran harta pusaka besar tertakluk di bawah Akta Probet dan Pentadbiran Pusaka 1959. Permohonan untuk mendapatkan suratkuasa pentadbiran dan perintah pembahagian hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil.

3. Harta Pusaka Ringkas
Harta pusaka ringkas ialah harta pusaka yang jumlah nilaiannya tidak melebihi RM 600,000 (Ringgit Malaysia Enam Ratus Ribu) yang terdiri daripada harta alih sahaja. Permohonan untuk penyelesaian harta pusaka ringkas boleh dibuat di Amanah Raya Berhad menurut peruntukkan seksyen 17, Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.

Secara ringkasnya, untuk mengenalpasti kategori harta, kita perlu melihat jumlah dan jenis harta pusaka yang ditinggalkan supaya waris tahu di mana tuntutan pusaka perlu dilakukan.

 

 

 

*Info tambahan:
Harta alih – contohnya seperti kenderaan, wang, emas, saham, unit trust, ASB
Harta tak alih – contohnya seperti rumah, tanah dan bangunan.

Sumber Rujukan:
(1) Pengantar Undang-undang Pentadbiran Pusaka, Wasiat dan Wakaf Orang Islam di Malaysia

PUAN UMI YUSOF
Guru Agih Harta
www.puanumi.com

#hibah #wasiat #faraid #hartapusaka
#rancangkeranasayang #puanumidotcom

©️Penulisan hak cipta terpelihara PUAN UMI.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *